Sabtu, 21 Ogos 2010

Eryna

Prolog


Suasana pagi ini cerah selepas semalaman hujan turun dengan lebatnya.  Aku sedang menghadap laptop sejak dari waktu imsak pukul 4.39 pagi tadi telah lama berlalu.  Perasaan mengantuk menusuk kalbu ku tahan disebabkan sudah semalaman aku tidak dapat tidur akibat mimpi yang bercampur aduk dengan fikiranku .   Pagi ini sejuk mencengkam jiwa raga.  Dengan suasana riuh dan bising di sekitar kawasan tempat tinggalku kerana berdekatan jalan utama adalah perkara biasa.  Mungkin bagi orang lain tidak akan mampu tidur lena akibat bunyi bising sepanjang masa 24 jam. 
"Assalamu'alaikum"
"Wa'alaikumsalam."
"Masih tak tidur sejak sahur tadi?" Tegur sahabat merangkap teman serumahku.  Dia tidak sedar agaknya aku bangun sejak dari semalam.
"Ya, aku belum sambung tidur." Balasku.
Benarkah mimpiku itu?  Aku masih mencari maksud dan maknanya datang bertandang mengganggu kehidupan seharianku tanpa memberi penjelasan.  [siapa aku sebenarnya?]
"Eryna?"  Tegur Farzana, mencuit bahuku.  Aku terkejut.
"Kenapa?" Soalku pantas.
"La... ko tanya aku pula.  Tadi kau kata pada aku, siapa kau sebenarnya?"
"Iya ke?  tak perasan pula aku."  Aku kehairanan.
"Inilah penyakit orang tak tidur, sampai pandai bercakap sendiri."
"Hish mana ada, kau ni memandai je."
"Tak mengaku pula."
Aku tak menyangka aku boleh jadi begini.
"Ni, apa pula ni termenung?"
"Mana ada.  Kau ganggu konsentrasi aku baca utusan."  
Kebetulan utusan online sedang aku layari tertera di skrin laptop di hadapanku.
"Pandai kau mengelak."
"Dah lah kau pergilah mandi, nak tidur sekejap."
"Hm, elok sangatlah tu.  Anak gadis tidur pagi-pagi buta begini..."
"Farz.."
"Ya..ya... aku tahu.  Kau ada masalah insomnia.  Dah.  pergilah tidur. Orang lain tidur malam kau  pula tidur siang hari."
"Janji aku sihat."
"Sihat apa bendanya tu, kalau rutin manusia biasa tidak macam ni."
Aku berlalu meninggalkan Farzana membebel pagi-pagi ini sendirian.  Aku tak kuasa nak melayan kehendak orang sekeliling kerana hanya aku yang alami dan hanya aku yang tahu rasa.


---


Aku terkejut, lantas terbangun dari lena.  Dentuman sebuah kenderaan yang kuat sedang berlalu di atas jalan raya mengganggu lenaku.  Mungkin agak lama juga aku tertidur semula tanpa gangguan mimpi-mimpi yang sukar untukku tafsirkan maksudnya ataupun aku belum menemui erti sebenar maksud mimpiku itu.  Dalam aku masih keadaan mengantuk, ku buka mata perlahan dan terasa terang benderang dan cahaya putih kelihatan.  Benarkah aku di alam nyata atau masih di alam lain?  Pantas aku menutup mata semula mengelakkan sinaran cahaya putih.  Secara perlahan aku membuka mata dan mengintai di sebalik kelopak mataku, rupanya matahari sudah naik tinggi dan langit kelihatan berwarna putih.  Aku segera bangun dan mencapai jam tanganku di atas meja.  Jam menunjukkan pukul 9.00 pagi.  Lebih dua jam sahaja aku tertidur.  Eloklah dapat tidur sekejap.  Aku menguap sambil membuka pintu bilik ku.  Ku capai tuala dan berniat ingin mandi apabila melihat di ruang depan  Farzana sedang membaca akhbar.
"Akhirnya bangun juga puteri ini."  Ujarnya seakan ada sesuatu yang telah aku tidak peduli.
"Kenapa?"  Soalku menggosok mata.  
Mindaku bertanya bila pula minah ni pergi beli akhbar?  Dia ni kaki malas nak keluar rumah.
"Dari tadi aku ketuk pintu, nanti kau terlepas cik abang pula." Seloroh Farzana.
"Oh, macam tu, ingatkan Amzar dah datang."
"Hm.... "  Farzana meneruskan bacaan yang terhenti sekejap.
"Ada apa yang tidak beres?"  Soalku.  Manalah tahu Amzar benar-benar singgah tadi.
"Amzar telefon tadi, sekejap lagi dia datang."
"Eloklah aku mandi sekejap.  Minta dia tunggu ya."  Aku cepat-cepat ke bilik mandi.
Aku keluar dari bilik air.
"Farz, bila kau keluar?"
"Kenapa kau tanya macam tu?"
"Nampak kau sedang membaca akhbar, ada berita baik ke?"
"Oh, akhbar ini  aku dah mula tempah hari ini. Ada orang hantar tadi."
"Baguslah.  Satu perkembangan yang baik. Kau tak ke mana-mana ke hari ini?"
"Aku malas nak keluar puasa-puasa ini.  Kau pula janji dengan Amzar nak ke mana?"
"Aku nak cari kain ela kat Jakel Silk, sedang promosi raya sekarang, harga gila-gila. Potongan mencecah 85%."
"Kau borong aku satu, nanti aku bayar."
"Dasar malas nak jalan.  Jomlah teman aku dan Amzar keluar." Ajakku tidak mahu keluar bersama Amzar berdua.
"Ah... malaslah, Kau tahu aku minat warna biru.  Janji cantik."
"Asal warna biru macam manapun tetap cantik pada kau."
Aku masuk ke bilik memakai pakaian dan semestinya yang terbaru tudung.
Tidak lama kemudian terdengar bunyi kereta berhenti di luar rumah sewaku ini.
Tentu itu Amzar.
"Eryna... Amzar dah datang dia kat bawah sekarang. Tunggu kau."  Ujar Lufi dari luar pintu bilikku.
"Ok thanks aku dah nak siap dah ini."
Aku keluar melihat Farzana sedang tersenyum melihatku.
[ada yang tidak kena dengan penampilan baru ku ke?]
"Cantik!"  Puji Farzana.  
Aku tahu dia terkejut melihat aku bertudung untuk pertama kalinya.
Agaknya bagimana penerimaan Amzar pula.
"Terima kasih.  Betul kau tak mahu join kami ke Jakel?" Ajak ku semula.  Farzana menggelengkan kepala.
Aku menyarungkan kasut tumit tinggi. 
"Hai, nampaknya Amzar makin tambah sayang kat kau."
"Kenapa?" Soalanku lontarkan seketika.
"Aweknya manis bertudung sebagaimana yang selama ini jenuh diusahakannya. Jangan lupa beli juada berbuka nanti."  Farzana mengusik penuh makna.
"Ok dulu nanti kita sambung cerita.  Aku pergi dulu, nanti menunggu lebih lama cik abang tu kat bawah pula.  Kalau ada apa-apa kau telefon aku saja."
Pantas aku turun.
Amzar menungguku di depan keretanya, kemudian mendongak memandangku tanpa berkedip.
Aku melemparkan senyuman penuh makna.


--- 


Seharian aku meronda sekitar Alamesra dan 1Borneo berjalan-jalan dengan Amzar walaupun bulan puasa tetapi itu tidak bermakna tidak mampu untuk keluar dan melakukan aktiviti harian seperti biasa.  Amzar pula asyik tersenyum meleret melihat gelagat ku yang tidak menang tangan dengan suasana promosi kain di Jakel tadi.  Andai boleh aku borong semua sekali, nasib baiklah aku tidak begitu.  Bersederhana masih ku amalkan dalam rutin harianku.
"Sampai naik juling mata ku melihat promosi raya jakel silk tahun ini." Ceritaku kepada Farzana sambil sibuk menghidangkan juadah berbuka petang ini. 
"Kau tak penat ke?"  Soal Farzana sejak tadi mendengar aku bercerita.
"Penat tu usah cakap, tetapi janji cik abang aku tu rajin temankan."
"Memang lagi tambah tambah rajin bila melihat penampilan kau sekarang."

"Ha-ah.  Aku tak tahu  kenapa Amzar tu tiba-tiba nak melarang aku."
"Apa yang tidak kena?"
"Aku tidak tahu macam mana nak cerita tetapi, aku kena bagi tumpuan pada dia je hari ini, tidak boleh lah aku nak puji orang macam selalu aku buat tu."
"Itu tandanya, Amzar memang sayang sangat dengan kau."
"Aku harap Amzar boleh terima kelemahan aku seadanya."
"Aku nampak selama ini pun memang Amzar berusaha untuk menjadikan kau seorang wanita solehah, kau saja yang selalu buat keras kepala dan buat tidak tahu."
"Ah, iya ke?  Aku tak perasan lah pula selama ini sikap ku menjengkelkan cuma selama ini dia hanya nak aku berubah tingkah laku dan penampilan.  Itu pun dia menasihatiku dengan cara berhemah.  Itu yang aku tidak boleh lupa tu."
"Eh aku nak tanya sikit?"
"Apa dia?"
"Agaknya bila aku boleh merasa nasi minyak kau?"

"La... ke situ pula.  Aku belum bersedia lagi.  Banyak lagi aku kena buat.  Amzar pun tidak pernah memaksa ke arah tu.  Lagipun dia pernah kata rancangan ke arah tu memang ada tetapi tidak sekarang, mungkin akan tiba masanya. Mee goreng kau masak?"  Soalku melihat Farzana menghidangkan mee goreng.
"Ya.  Ingatkan kau lewat sampai.  Manalah tahu nak berbuka puasa dengan cik abang, sekali sekala."
"Dah janji dengan kau tadi kan. Lagi pun aku lebih selesa berbuka di rumah.  Macam kau tak kenal aku."
"Elok sangatlah tu,  dah jadi isteri nanti, suami sayang dapat isteri macam kau."
"Tahu tak apa.  Kau pula macam mana?  Tak terfikir nak menamatkan zaman solo kau tahun ini?"  Soalku.  Farzana kelihatan terdiam seketika.
"Erm... rasanya aku nak makan nasi minyak kau dulu."
"Tazim tak ada khabar ke?"  
Farzana menggeleng.
"Farz?"  Panggilku, melihat perubahan di wajahnya soalan tidak ku teruskan.  Aku dapat merasakan mendung di wajahnya dan mungkin dia akan menangis lagi bila sebut tentang Tazim.  Aku mengusap tangannya memohon maaf.
"Sudahlah, jom kita berbuka.  Azan pun dah kedengaran."  Ajakku menghilangkan rasa bersalah mengungkit kisahnya tanpa sengaja.  Farz seorang sahabat yang perahsia.  
Hidangan berbuka petang ini, kuih muih, air batu campur dan mee goreng.  Hm, sedap!


---


Jam di laptop menunjukkan 12.02 pagi, aku tidak dapat melelapkan mata sejak dari berbuka.  Aku duduk melayan internet dengan laptop jenama Acer keluaran tahun 2007 Aspire 3680.   Perut terasa lapar, aku ke dapur mencari mee goreng yang dijadikan juadah berbuka petang ini.  Sambil melayari internet aku menyuap makanan ke dalam mulut dan menunggu air dalam kettle mendidih untuk membuat nescafe panas.  Dalam hati dah berniat untuk bersahur, itupun jika dapat tidur pagi ini.   Jika tidak nampaknya kena bangunkan tuan puteri Farzana untuk bersahur sama, sekali lagi.  Tentu Farzana sedang tidur dan bermimpi.  Sambil menikmati makanan aku tersenyum sendiri mengingati gelagat Amzar siang tadi.  Macam budak kecil dapat gula-gula melihat aku macam nak telan aje.
"Eryna... " Panggilan lembut dari Amzar yang berbentuk pertanyaan menyapa cuping telinga ku selepas memasuki keretanya. 
"Eryna tahu, Amzar tentu tak percaya."  Balasku.
"Bukan begitu maksud Amzar."
Aku menanti jawapan seterusnya.
"Amzar bersyukur sangat Eryna dah mula berubah ke arah yang lebih baik."
Aku tersenyum.
"Kenapa senyum je ni, tak mahu kata apa-apa?"
"No komen."
"Amzar suka melihat penampilan baru Eryna buat permulaan ini.  Sesuatu yang diluar jangkaan Amzar sendiri.  Macam mana Eryna boleh terfikir nak memakai tudung sekarang?"
Aku maklum maksud soalan Amzar kali ini.  Selama ini berbuih mulutnya meminta aku memakai tudung, aku tidak pernah endahkan tetapi hari ini, sejak beberapa hari yang lalu akibat mendapat mimpi yang berulang membuat aku terfikir, kenapa benda baik yang di minta liat sangat hendak aku buat.  Kenapa benda yang tak elok mudah sangat orang ikut.
"Apa lagi yang merunsingkan fikiran tu?"
Aku senyum lagi.
"Jangan senyum saja, jawablah pertanyaan Amzar tadi."
"Yang mana satu tu?" Usikku.
"Buat tak faham pula."
"Suatu masa nanti, Insya'Allah andai kita ada jodoh Eryna akan ceritakan.  Bukan sekarang, Sekarang bagi masa pada Eryna untuk bertenang dan menyerap perubahan ini dulu."
"Wah, lamanya nak tunggu."
"Ada manis dan hikmahnya, kenapa penantian diperlukan."
"Dah pandai berfalsafah pula sekarang ye."
"Sifu yang handal ada di sisi."
Amzar tertawa senang.
"Macam budak kecil dapat gula-gula."  Bisikku sendirian.  Aku tersenyum, menyedari sikap Amzar lebih berlembut dan senang dengan diriku.  Alhamdulillah, bulan Ramadhan menjanjikan sesuatu yang manis untukku.  Tiba-tiba...
Aku mendengar esakan kecil dari bilik tidur Farzana.  Aku tahu dia tidak tidur kerana sekejap tadi kedengaran deringan telefon bimbitnya.  Tentu panggilan telefon dari Tazim yang sekarang berada jauh di depan mata.  Hanya jarak yang memisahkan mereka.
"Farz?"  Aku mengetuk dinding yang memisahkan bilik antara kami.
Senyap.  Aku menggaruk kepala yang tidak gatal.
"Sudah-sudahlah tu Farz.  Tak usah bazirkan airmata tu."